Cuepacs sambut baik Zulkapli dilantik KPPA yang baharu

0
2
PN BBC Portal. Cuepacs

KONGRES Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pelantikan Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat, berkata pihaknya yakin kepimpinan dan pengalaman luas Zulkapli dalam perkhidmatan awam mampu menerajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan perkhidmatan awam itu sendiri ke arah yang lebih baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Sememangnya perkhidmatan awam memerlukan pemimpin yang berpengalaman luas dan dekat dengan penjawat awam agar segala permasalahan serta hal-hal kebajikan warganya dapat disantuni dengan berkesan.

“Cuepacs sebagai sebuah kesatuan yang mewakili suara warga perkhidmatan awam sebelum ini sudah mempunyai hubungan yang amat baik dengan Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

“Beliau sentiasa menjadi rujukan Cuepacs dalam hal-hal melibatkan permasalahan penjawat awam dan dalam masa yang selalu bertukar pandangan antara satu sama lain.

“Cuepacs berharap hubungan yang baik ini terus terjalin bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam sentiasa dapat ditingkatkan selaras dengan kebajikan warganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan Zulkapli dilantik sebagai KPPA yang baharu, berkuatkuasa hari ini sekali gus mengisi jawatan itu yang ditinggalkan kosong sejak Disember lalu.

Mohd Zuki berkata, pelantikan Zulkapli berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, serta pembangunan modal insan.

Dalam masa sama, Adnan menyeru seluruh warga perkhidmatan awam memberikan sokongan yang penuh kepada Zulkapli untuk menerajui JPA demi kebaikan institusi.

“Cuepacs juga ingin mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan pelantikan Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu.

“Pengalaman luas beliau dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar menjadi sandaran kepada perkhidmatan awam untuk meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara melalui tadbir urus yang baik,” ujarnya.

Johan turut dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan berkuatkuasa, hari ini.

Menurut Mohd Zuki, Johan dilantik berdasarkan ciri-ciri kepimpinan serta pengalaman luas beliau sepanjang memegang beberapa jawatan di dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here