
KERAJAAN perlu mempertimbangkan semula permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar terutama kepada pencarum yang benar-benar memerlukan.
Ahli Parlimen Kuala Selangor daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bagaimanapun ia perlu dilaksanakan dengan syarat amat ketat dan selektif bagi pencarum yang layak.
“Jika ketua isi rumah benar-benar memerlukan dan mempunyai simpanan dalam KWSP, ia adalah wajar kerana duit itu adalah milik mereka.
“Pada saat mereka memerlukan, kita (perlu) izinkan tetapi harus bersasar dengan syarat sangat ketat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Hijau Lestari sempena penanaman 25,223 pokok siantan di Forest Park, Bandar Hillpark, Puncak Alam, hari ini.
Namun, Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, cara berkenaan masih tidak akan menyelesaikan isu secara menyeluruh, sebaliknya kerajaan perlu mengambil langkah lebih mampan dan ke hadapan dalam menanganinya.
“Saya rasa ada ihsan serta belasnya rahmah Kerajaan Madani untuk mengizinkan ini tetapi ia tidak boleh secara menyeluruh.
“Saya tidak menyokong apapun langkah mengorbankan simpanan usia tua.
“Kalau itu menyelamatkan atau lebih daripada itu, adalah penting untuk mereka mengatasi masalah krisis kewangan semasa,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2023 mengumumkan kerajaan bersetuju menambah caruman RM500 kepada ahli KWSP berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 di dalam Akaun 1.
Program itu akan memberi manfaat kepada hampir dua juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion.
Jelas Dzulkefly, beliau menyokong syarat ketat secara amat selektif bagi golongan pencarum yang layak bukan sahaja bagi golongan B40 tetapi juga kepada M40.
“Saya menerima banyak aduan mengenai pengeluaran bersasar itu dan simpati dengan kedudukan ‘tenat’ kewangan mereka.
“Inisiatif menambah caruman RM500 oleh kerajaan sememangnya baik namun krisis kewangan golongan memerlukan juga perlu diutamakan,” katanya. – Malaysiapost
