AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said sah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti bulan depan.
Ini menjadikan Ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu satu-satunya calon wanita bagi merebut jawatan nombor tiga parti itu.
Menurut pegawainya, Azalina telah menghantar borang pencalonannya pada pukul 12 tengah hari tadi di Auditorium Umno di Menara Dato’ Onn, hari ini.
“Datuk Seri Azalina Othman Said sudah menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada jam 12 tengah hari tadi,” katanya lapor Berita Harian.
Setakat ini, jawatan Naib Presiden Umno menyaksikan saingan lapan penjuru.
Tiga jawatan itu ketika ini disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mohamed Khaled dan Mahdzir mengesahkan akan bertanding bagi pertahan jawatan masing-masing, manakala Ismail Sabri masih belum menghantar borang pencalonan.
Turut mengesahkan bertanding ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli MKT Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Seorang lagi Ahli MKT turut mengesahkan bertanding iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Bekas Pengerusi Umno Johor yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menghantar pencalonan bagi jawatan sama. – Malaysiapost
Kredit foto: BH

