TUN Dr Mahathir Mohamad bersama 12 ahli yang keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini.
Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin mengesahkan perkara itu menerusi Facebook miliknya hari ini.
Menurut Armin, Dr Mahathir bersama 12 bekas ahli Pejuang mendaftar keahliannya bagi meneruskan perjuangan politiknya bersama Putra.
“Semua G13 termasuk Tun M selamat mendaftar keahlian untuk meneruskan perjuangan di bawah Putra.
“Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang, parti dan pertubuhan Melayu.
“Doakan semoga Allah permudahkan perjuangan kami,” katanya.

Hanya melalui penyatuan orang-orang Melayu, Armin berkata, mereka dapat bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanah air.
Sebelum ini, Dr Mahathir memberi bayangan untuk menyertai Putra selain berhasrat menjadi penasihat parti itu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menganggap jemputan untuk menyertai Putra sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.
Putra menjadi parti keempat disertai bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu selepas Umno, Bersatu dan Pejuang. – Malaysiapost

