RM18.5b, RM17.7b untuk KDN, KEMENTAH

0
2

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) masing-masing diperuntukkan RM18.5 bilion dan RM17.7 bilion menerusi Belanjawan 2023.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keutamaan peruntukan itu adalah untuk menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4.1 bilion.

Sementara itu, katanya, agensi-agensi di bawah KDN akan disediakan hampir RM1 bilion bagi memperkasa keselamatan dalam negeri, antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan PDRM.

“Selain itu, sebuah Ibu Pejabat Kontinjen Perak dan kuarters polis baharu akan dibina dengan kos RM450 juta.

“Kerajaan akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis PGA, Imigresen, ESSCOM dan APMM bagi memperketat kawalan sempadan negara selain menyelenggara semua kapal dan bot APMM,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, aspek kebajikan angkatan bersenjata negara akan terus dipelihara.

“Lebih RM500 juta disediakan untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN.

“Bagi membantu pemilikan rumah mampu milik bagi ATM secara berfasa, kerajaan akan membina lebih 7,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here