KETUA Wanita Umno Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengesahkan akan mempertahankan jawatannya dalam parti pada Pemilihan Umno 2023 dengan menghantar borang pencalonan hari ini.
Ahli Parlimen Parit Sulong itu mengemukakan borang pencalonannya di Auditorium Umno, Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Pencalonan bekas Menteri Pengajian Tinggi itu, sekaligus menyaksikan pertembungannya dengan bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bagi menerajui sayap parti itu.
“Bersempena dengan hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya bersama dengan saf kepimpinan Wanita telah selesai menghantar borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia.
“Iltizam saya, masih sama, ingin meneruskan agenda yang telah kita gerakkan bersama selama ini dalam memperkasakan Umno dan Wanita khususnya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Beliau berkata, pasca Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) mendesak Wanita Umno untuk memainkan peranan yang lebih besar demi memastikan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap dapat dikembalikan.
“Justeru, saya dengan rasa merendah diri, memohon sokongan dan dokongan daripada para perwakilan sekalian bagi meneruskan kesinambungan usaha yang telah sama-sama kita lakukan sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Shahrizat mengesahkan pencalonannya untuk kembali menerajui kepimpinan Wanita Umno.
Pemilihan sayap Wanita Umno akan berlangsung pada 11 Mac ini ketika Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian, yang diadakan serentak di seluruh negara. – Malaysiapost

