KPM terima peruntukan tertinggi RM55.2 bilion

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM2.3 bilion daripada peruntukan itu disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah.

Beliau berkata, ia meliputi naik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

“Selain itu, peruntukan RM900 juta untuk kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan, Cina dan Tamil.

“Ia termasuk bagi kerja seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama serta kelas yang uzur,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023, hari ini.

Anwar berkata, sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak RM560 juta termasuk SK Paya Dusun di Terengganu, SMK Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Selain itu, katanya, kerajaan menyediakan RM777 juta untuk menampung kos menyediakan makanan berkhasiat bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700,000 murid.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan untuk Program Makanan Prasekolah KPM juga ditingkatkan kepada RM108 juta yang memberi manfaat kepada lebih 240,000 murid prasekolah KPM.

“Pemantauan juga akan dibuat kepada penyedia makanan untuk pastikan makanan disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut akan membekalkan sebanyak 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here