Dedahkan sahaja laporan siasatan Hakim Nazlan – Puad

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi meminta laporan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali didedahkan kepada orang awam.

Beliau berkata, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara perlu mengambil tindakan segera dalam siasatan tersebut demi keadilan.

“Dedahkan sahaja laporan siasatan itu kepada orang ramai. Rakyat sudah penat menunggu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah memaklumkan bahawa kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan telah diserahkan kepada Tengku Mainun Selasa lalu.

Katanya, turut dilaporkan Peguam Negara juga telah menerima laporan siasatan yang sama.

“Kenyataan menteri dibuat di parlimen. Jangan ada dolak dalik selepas ini.

“Walaupun tidak berterus terang, tetapi bila Menteri sebut “jika memenuhi elemen pertuduhan” boleh ditafsir macam ada kes,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan laporan siasatannya terhadap Mohd Nazlan kepada Ketua Hakim Negara.

Bagaimanapun, menurut Azalina kerajaan tidak akan campur tangan kuasa Pendakwa Raya.

Jelasnya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari lalu.

Menurutnya, laporan itu berkaitan siasatan terhadap Mohd Nazlan yang didakwa melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Bagaimanapun katanya, surat itu tidak mengandungi maklumat lanjut berhubung perkara terbabit.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Pada 29 September tahun lalu, SPRM mengesahkan sudah menyelesaikan kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dan hanya menunggu arahan yang akan diberikan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here