Cukai barangan mewah, cukai keuntungan modal, cukai cecair vape akan diperkenalkan

0
2

PENTADBIRAN Kerajaan Perpaduan komited menegakkan keadilan sosial dengan mengagihkan hasil negara kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata pengagihan hasil yang adil tidak bermakna layanan sama rata, tetapi berasaskan keperluan.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan melaporkan kumpulan 20 teratas (T20) menguasai 47 peratus jumlah pendapatan isi rumah, dan 80 peratus daripada keseluruhan jumlah simpanan KWSP.

“Mengambil kira pendapatan dan kekayaan negara yang tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit mahakaya, adalah wajar agihan hasil negara ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.

“Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Malaysia Madani 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, antara ikhtiar yang telahpun diperkenalkan termasuklah agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih kepada rakyat yang memerlukan.

“87 peratus ahli dengan simpanan kurang RM30,000t telah diberi dividen 5.1 sen per unit. Manakala, simpanan melebihi RM30,000t menerima dividen 4.6 sen per unit.

“Selain itu, tarif elektrik telah dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tetapi semua syarikat besar kecuali sektor makanan dan pertanian telah dinaikkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam keadaan rakyat masih terkesan dan sekarang bukan masa sesuai untuk melaksanakannya.

Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai kemampuan.

“Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah. Antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.

“Selaras amalan terbaik antarabangsa, Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.

“Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

“Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

“Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here