
TIMBALAN Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram menyifatkan alasan peguam pembelaan Datuk Seri Najib Razak menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos lalu adalah tidak munasabah dan tidak kukuh.
Jelasnya, tindakan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika rayuan akhir itu sebagai strategi taktikal, tidak boleh dibenarkan mengambil jalan pintu belakang untuk melengahkan prosiding dengan menarik diri daripada mewakili tertuduh.
Sithambaram berkata, bekas Perdana Menteri itu menunjukkan beliau berhasrat menangguhkan rayuan walau dengan apa cara sekalipun dengan menggunakan alasan melantik peguam baharu, bagaimanapun ‘permainan’ itu memakan diri sendiri.
Katanya, Mahkamah Persekutuan tidak boleh dipersalahkan kerana enggan menangguhkan pendengaran rayuan itu, dan jelas firma guaman baharu mengambil alih kes bertujuan menangguhkan rayuan yang sudah ditetapkan empat bulan sebelumnya.
Tegasnya, tindakan itu tidak boleh diterima kerana ia bermakna penangguhan sentiasa boleh diminta setiap kali peguam baharu mengambil alih kes di saat pendengaran sudah ditetapkan.
Sithambaram berkata, Mahkamah Persekutuan menggunakan budi bicaranya untuk tidak membenarkan penangguhan dan firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) yang dilantik Najib sepatutnya tidak menerima kes apabila tarikh perbicaraan sudah ditetapkan melainkan mereka bersedia dengan rayuan.
Beliau berkata, Najib hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila beliau gagal mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Katanya, peguam Najib ketika itu terlampau yakin permohonan memasukkan bukti baharu berhubung pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan menangguhkan prosiding akan dibenarkan.
“Mereka tidak ada memikirkan ‘pelan B’ jika mahkamah tidak benarkan penangguhan itu. Hisyam dan ZIST mengambil mudah keseluruhan rayuan dengan berpuas hati mereka akan mendapat penangguhan walaupun arahan jelas daripada mahkamah bahawa rayuan utama akan diteruskan.
“Apabila ia tidak berjaya, Najib dan peguamnya buat permohonan supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel daripada mendengar rayuan menarik diri.
“Ini tidak lain hanyalah satu percubaan terdesak untuk melengahkan pendengaran rayuan,” katanya.
Sithambaram berkata, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang betul apabila tidak membenarkan Hisyam menarik diri daripada mewakili Najib selepas mahkamah menolak permohonannya untuk penangguhan.
Tegasnya, Najib mempunyai masa empat bulan untuk mendapatkan peguam baharu ketika itu dan bersedia dengan kes jika dia benar-benar mahu menukar peguam sedia ada.
Katanya, pemecatan peguam sedia ada, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah tindakan yang meragukan untuk memaksa mahkamah menangguhkan rayuan.
Hujahan pendakwaan dalam permohonan semakan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya bersambung petang ini. – Malaysiapost
