Tak masuk akal tuduh Zahid jadi dalang – Lokman

0
2
Datuk Lokman Noor Adam

DAKWAAN Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang di sebalik pendakwaan kes mahkamah ke atas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan adalah tidak masuk akal.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Lokman Noor Adam, mempersoalkan kenapa Ahmad Zahid disalahkan sedangkan beliau sendiri masih terbabit dalam pertuduhan kes di mahkamah.

“Yang isytihar darurat Bersatu, yang agih projek Bersatu, yang terima komisyen Bersatu, yang dipersalahkan Datuk Zahid.

“Kalau dia boleh susun untuk tindakan diambil ke atas pemimpin Bersatu, kenapa dia perlu turun naik mahkamah. Selesaikanlah di luar mahkamah,” katanya di Facebook.

Semalam, Presiden Bersatu mendakwa Ahmad Zahid adalah dalang kerana sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan beberapa pemimpin parti pembangkang akan turut terpalit dalam kes mahkamah.

Dalam pada itu, Lokman menyifatkan kes mahkamah yang melibatkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sebagai Kluster Mahkamah 2.0.

“Takkan Datuk Zahid tak tahu, beliau orang nombor dua dalam kerajaan mestilah beliau tahu mengenai laporan atau pun siasatan. Itulah sebab beliau boleh menggambarkannya

“Apalah. Inilah Kluster Mahkamah 2.0,” katanya.

Wan Saiful Wan Jan, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa berjumlah RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Turut didakwa adalah Timbalan Ketua Bersatu bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhamad turut dikenakan tiga pendakwaan kerana rasuah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here