Adam Radlan didakwa lagi

0
2

SELEPAS mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM500,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, kini Adam Radlan Adam Muhammad dihadapkan dua pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut itu dihadapkan atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Bagaimanapun, Adam Radlan, 42, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Memetik Berita Harian, mengikut pertuduhan, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan.

Wang berkenaan didakwa sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Imbuhan itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM47.8 juta.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Jaya One, Petaling Jaya antara 26 November 2021 hingga 5 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Kredit foto: BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here