PERTUDUHAN kes mahkamah melibatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) adalah satu tekanan politik untuk melumpuhkan kekuatan gabungan tersebut terutamanya parti Bersatu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Umno amat takut dengan kekuatan dan kemaraan PN terutama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin menjelang tiba.
Tegasnya, perkembangan itu akan menjadi ‘back fire’ kepada PH dan BN, sekali gus tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PN pada enam negeri yang menghadapi PRN nanti.
“Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hari ini dengan jelas menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat Presiden Umno beberapa minggu lalu, membuktikan sudah ada perancangan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.
“Sudah tentulah ini satu lagi bukti ketakutan PH dengan rakan baharu mereka, Umno melihat dukungan yang begitu kuat dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap PN.
“Kita yakin sekali lagi dalam PRN, rakyat akan memberikan satu lagi isyarat kepada PH dan Umno kerana mereka tidak menunaikan apa yang dijanjikan dalam pilihan raya yang lalu.
“Sudah hampir tiga bulan tetapi tidak ada sebarang langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan hari ini untuk membantu rakyat,” katanya.
Azmin berkata demikian ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau sebelum itu hadir bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menghadapi dua pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Azmin yang merupakan Ketua Penerangan PN berkata, kerajaan dilihat telah gagal untuk mentadbir negara dan menguruskan ekonomi dengan lebih efektif khususnya berkaitan isu kos sara hidup.
“Maka untuk menutup kelemahan ini mereka menyerang PN untuk melumpuhkan kita.
“Saya yakin rakyat hari ini cukup matang melihat gelagat PH dan UMNO yang tidak mampu mentadbir sebuah kerajaan dan saya yakin kita akan terus mendapat sokongan yang lebih besar dengan serangan seperti ini Insyallah,” katanya. – Malaysiapost

