ARMADA Bersatu mempertikaikan cara Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) mendakwa pertuduhan mahkamah ke atas Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap Wan Saiful hari ini dilakukan dalam masa yang singkat setelah beliau dipanggil ke pejabat SPRM pada malam sebelumnya.
Wan Ahmad Fayhsal juga menyifatkan cara berkenaan adalah bertujuan untuk memalukan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu
“Kami amat kesal kerana YB Datuk Wan Saiful Wan Jan dipanggil semalam namun hanya diberitahu akan didakwa hari ini setelah beliau hadir dan ditahan serta merta oleh SPRM.
“Beliau tidak dapat membuat persediaan sewajarnya dan ia bertujuan untuk memalukan beliau pada pagi tadi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan Ahli Parlimen Machang berkata, pertuduhan terhadap Wan Saiful itu jelas menunjukkan bahawa politik balas dendam dan penganiayaan terhadap lawan yang tidak senada dengan kerajaan terus menjadi keutamaan kerajaan ini.
“Pertuduhan ke atas YB Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan Bersatu ini jelas bersifat politik yang bertujuan menekan musuh politik kerajaan khususnya pembangkang untuk membunuh karakter parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang enam Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung pada tahun ini,” katanya
Wan Ahmad Fayhsal menambah, pertuduhan dua kes mahkamah yang melibatkan Wan Saiful itu adalah usaha kerajaan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap beberapa kes besar yang masih gagal ditangani kerajaan ketika ini.
“Ini merupakan satu pendakwaan politik yang berlapis dendam dan berniat jahat untuk menekan pembangkang.
“Demi mengalih perhatian rakyat dan dunia kepada kes-kes yang lebih besar seperti kapal tempur LCS yang masih belum didakwa pelaku utamanya, kes mahkamah 47 pertuduhan melibatkan Timbalan Perdana Menteri, pendakwaan terpilih ini dicipta.
“Ianya jelas sekali satu tindakan bacul dan keanak-anakan serta satu taktik politik yang zalim,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal turut mengakui bahawa Bersatu tidak akan terkejut sekiranya selepas ini presiden mereka Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diheret ke mahkamah selepas ini.
“Sasaran sebenar ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami tidak terkejut kalau Tan Sri Muhyiddin juga akan diheret sama seperti Datuk Wan Saiful selepas ini.
“Mereka mahu lumpuhkan Bersatu dalam apa jua cara sekali pun. Ini bukan pertama kali Bersatu berdepan dengan ancaman seperti ini dan kami tidak akan berganjak walau sedikit pun dalam berdepan dengan tekanan politik ini,” katanya. – Malaysiapost

