AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta kerajaan membantu golongan muda peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini amat terkesan dan termasuk dalam golongan B40.
“Angka yang menakutkan! 1.84 juta anak muda peminjam PTPTN tergolong dalam kelas ekonomi B40!
“Mereka adalah aset dan harapan negara! Kalau mereka ditakuk ini maka negara akan hilang kekuatan untuk maju dan membangun.
“Produktiviti akan jatuh dan hasil negara termasuk kadar kutipan cukai akan murudum,” kata Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Menurutnya, terdapat dua kelompok anak muda yang kerajaan perlu bantu segera untuk mengelak masalah itu terus melarat.
Golongan pertama katanya, pandemials iaitu generasi Millennial (lahir tahun 2000 ke atas) yang tercicir dalam semua segi akibat Pandemik Covid-19.
Kedua, golongan Precariats (Belia Resah) yang kerja kais pagi makan pagi, kais petang tetap tak dapat makan malam.
“Mereka ada sijil pendidikan tapi peluang pekerjaan mereka terhad dan tidak padan dengan kemampuan mereka.
“Semua mereka ini adalah Generasi Sandwich! Dihimpit dari luar (pasaran kerja, sistem ekonomi) dan dalam (tanggungjawab jaga ibu, ayah dan anak-anak).
“Kerajaan perlu bantu segera demi selamatkan mereka dan negara,” katanya. – Malaysiapost

