TOPIK pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibincangkan oleh Khairy Jamaluddin bersama rakan penyampai, Johan, AG dan Fara Fauzana dalam segmen Bekpes Hot, pagi ini.
Bekas Menteri Kesihatan itu yang kali kedua ke udara sebagai penyampai radio (DJ) di Hot FM, membangkitkan topik KWSP berkenaan yang kini sedang hangat diperkatakan.
Beliau yang lebih mesra dipanggil KJ turut membuat undian di laman Instagram yang hasilnya 60 peratus daripada 20,000 orang bersetuju pengeluaran simpanan KWSP dibenarkan oleh kerajaan.
“Sekarang isu (KWSP) hangat diperkatakan, saya juga mempromosi perbincangan pagi ini mengenai KWSP simpanan waktu kita bersara nanti.
“Sekarang ini tengah ‘hot’, ramai meminta kerajaan meluluskan satu lagi pengeluaran. Sejak Covid-19 sudah empat kali pengeluaran (KWSP), i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran simpanan khas.
“Ada yang minta sekali lagi dikeluarkan. Cuma, masalahnya simpanan masa tua kita ini semakin susut, Jadi kita nak bincang pagi ini…agak serius sedikit,” katanya.
Menurutnya, topik itu dibincangkan supaya pendengar dapat mengetahui baik dan buruknya jika pengeluaran KWSP dibenarkan sekali lagi.
Pasukan Hot FM turut menghubungi Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein untuk memberi pandangan berhubung topik berkenaan.
Nurhisham berkata, jumlah simpanan hari tua yang perlu ada adalah sebanya RM240,000, namun kira-kira 50 peratus daripada pencarum hanya mempunyai simpanan sebanyak RM8,100 sahaja, manakala purata bagi Bumiputera hanya RM5,500 sahaja.
“Penanda aras simpanan asas adalah RM240,000. Purata simpanan antara RM130,000 sehingga RM140,000, tetapi itu yang betul-betul kaya. Jumlah simpanan bagi aras pertengahan mencerminkan keadaan sebenar.
“Sepatutnya kena ada RM240,000, tetapi kalau simpan secara disiplin, boleh capai insya-Allah,” katanya.
Nurhisham berpandangan, usaha membantu rakyat keluar daripada masalah ekonomi susulan pandemik Covid-19 perlu dibuat secara holistik kerana ada ahli KWSP nak keluarkan, tetapi baki tidak mencukupi dan ada juga bukan ahli KWSP.
“Jadi pendekatan diambil kerajaan ialah kena cari jalan penyelesaian untuk semua orang.
“Kerajaan ada kaedah membantu individu yang terjejas, sebelum pandemik COVID-19 lagi. Misalnya, modal perniagaan menerusi lebih 40 program daripada Amanah Ikhtiar, tetapi masalahnya, orang tidak tahu,” katanya.
Tambah Khairy, ramai ambil jalan mudah mengeluarkan simpanan KWSP dan menjejaskan masa depan berikutan tidak tahu mengenai skim bantuan disediakan.
“Kita perlukan RM240,000, jika tiada susah nak bersara dengan bermaruah. Ramai nak keluarkan, tetapi sekali lagi diingatkan simpanan untuk masa depan.
“Secara jujurnya, berapa ramai tidak menggunakannya dengan betul ketika kerajaan memberikan kebenaran pengeluaran simpanan KWSP?
Beliau bagaimanapun merasakan kerajaan wajar mendengar suara dan rintihan rakyat yang sedang susah dengan inflasi dan kenaikan harga barang.
“Jadi, fikirkan kaedah terbaik dalam pembentangan Bajet 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa menjejaskan masa depan rakyat dengan membenarkan pengeluaran KWSP,” katanya. – Malaysiapost

