LCS kurang satu tapi kos bina tetap sama – Mohamad

0
2

KOS pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) tetap sama iaitu berjumlah RM9 bilion walaupun unitnya dikurangkan daripada enam kepada lima kapal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia disebabkan kenaikan harga barangan selain penambahan kos pembinaan.

“Sebenarnya tidak ada pengurangan dalam siling yang telah diluluskan terdahulu. Ia tetap sama. Disebabkan banyak variation order (VO) pertambahan kos kerana disebabkan keadaan harga barang-barang semua telah meningkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) berhubung kos pembinaan LCS yang dikurangkan daripada enam kepada lima unit.

Pada 30 Januari lalu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob memaklumkan Tentera Laut akan menerima lima unit kapal LCS, bukannya enam, dalam projek bernilai RM9 bilion.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementerian sedang dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan penerusan projek melalui penyediaan Memorandum Jemaah Menteri yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.

“Kita akan bentangkan kertas baharu kerana kerajaan ini bukan kerajaan terdahulu yang telahpun bersetuju, maka kita akan bentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk kita meneruskan projek ini.

“Apabila kita menandatangani ‘international settlement agreement’ dengan pihak ketiga kita dapat meneruskan (projek),” katanya.

Sementara itu, menurutnya, LCS pertama dijangka hanya mula beroperasi sekitar 2026 kerana perlu menjalani beberapa ujian dan penilaian terlebih dahulu.

Beliau menjelaskan pembinaan LCS pertama sudah hampir selesai dengan semua kelengkapan utama seperti enjin, kotak gear dan bebaling sudah siap dipasang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here