Armand: ‘Saya tak pernah khianati parti’

0
2

KETUA Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah reda dengan ujian yang dialaminya sepanjang menjadi ahli Umno sejak 1995 hingga kini.

Beliau akur dengan apa sahaja keputusan dibuat Lembaga Disiplin Umno pada Khamis ini yang memanggilnya memberi penjelasan berhubung beberapa tindakannya sebelum ini yang dikatakan melanggar disiplin parti.

Calon Ketua Pemuda Umno Malaysia bagi Pemilihan Umno 2023 itu juga memohon semua ahli parti dan penyokongnya supaya bertenang serta memberi keutamaan kepada parti.

“Saya reda dalam ujian yang dihadapi. Minda dan hati kena cekal hadapi, akur apa jua keputusan yang akan saya terima.

“Saya mohon semua ahli parti tenang dan sabar, macam saya nyatakan parti harus jadi keutamaan waima saya terpaksa direhatkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, pemimpin datang dan pergi, namun parti kekal maka harus terus membina kekuatan dan keyakinan ahli parti serta rakyat pada parti demi masa depan parti.

“Saya dengan perasaan rendah diri mohon sahabat-sahabat berdoa buat saya serta rakan-rakan lain untuk terus istiqamah dan diberikan pengadilan yang adil, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, sejak 7 Januari 1995 hingga kini beliau bersama Umno dan tidak pernah mengkhianati atau terfikir untuk meninggalkan parti itu.

“Tidak pernah mengaibkan atau memfitnah mana-mana pemimpin parti apatah lagi memaki, menghina, malah sabotaj parti tercinta saya.

“Ketika hilang kuasa, kekal bersama malah terus menawarkan diri untuk menjadi Ketua Umno Bahagian Subang walaupun ketika itu kita adalah pembangkang. Bersama-sama keimpian membina kekuatan parti sehingga kini,” katanya.

Namun beliau berkata, kesetiaannya dalam parti sekali lagi diuji dan beliau menerimanya dengan hati terbuka demi kesejahteraan dan kekuatan parti.

“Ada yang pernah khianat, hina, keji dan secara terang musuh nyata kita…parti boleh terima kembali sebagai ahli parti…inikan pula diri saya yang setia dan tidak pernah tinggalkan parti di kala susah dan senang, kini diuji dengan ujian ini.

“Mohon doakan kejayaan saya hadapi ujian ini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Lembaga Disiplin Umno akan memanggil Armand Azha pada 23 Februari ini dan diminta menjelaskan beberapa tindakannya yang telah melanggar disiplin parti sebelum ini.

Sebarang keputusan menggantung keahlian atau memecat Armand akan meragut peluangnya bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu, Mac ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here