Wanita maut kereta bertembung lori tangki

0
2

SEORANG wanita maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori tangki di Jalan Bahau-Keratong, dekat Muadzam Shah, pagi tadi.

Pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang menerima laporan kemalangan itu jam 10.03 pagi.

Jurucakap Bomba Pahang berkata, sebuah jentera bersama lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan kemalangan itu.

“Kedua kenderaan itu dipercayai bertembung mengakibatkan bahagian depan lori tangki terbakar manakala kereta terbabit pula remuk teruk.

“Terdapat tiga penumpang dalam kereta berkenaan dan dua daripadanya, seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam.

“Seorang lagi mangsa iaitu wanita tersepit dalam kereta yang remuk dan kami terpaksa menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Rosnah Saadon, 56 tahun dan dipercayai menetap di FELDA Bukit Sagu, dekat Kuantan.

Difahamkan penumpang kereta yang terbabit dalam kemalangan itu adalah pasangan suami isteri bersama anak mereka.

Identiti suami Rosnah dan anak mereka masih belum diperoleh.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian bagi membantu operasi.

Mangsa yang cedera pula dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan susulan.

Pemandu lori tangki itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here