MUIP, kerajaan Pahang bincang bantuan untuk Turkiye

0
2

MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sedia berbincang dengan kerajaan Pahang bagi menyelaraskan bantuan bencana ke Turkiye.

Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat (PKZ) MUIP, Datuk Halidan Md Daud, berkata pihaknya bersedia pada bila-bila masa menyokong usaha itu.

“Berhubung dengan sumbangan kepada bencana di Turkiye, pihak majlis ugama sedang berbincang mengenai pelaksanaan dengan kerajaan negeri.

“Pihak majlis ugama bersedia bila-bila masa menyokong usaha ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Halidan bersama pihak pengurusan MUIP hadir dalam majlis ramah mesra bersama media.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Februari lalu bertitah menyeru rakyat negara ini menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Turkiye dan Syria yang terjejas teruk akibat gempa bumi.

Sementara itu, Halidan memberitahu PKZ Pahang merekodkan peningkatan 15.4 peratus atau RM27.7 juta zakat sepanjang tahun lalu.

Katanya, sejumlah RM207 juta berjaya dikutip pada tahun 2022 berbanding RM179.2 juta tahun sebelumnya.

“Kutipan itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu sebanyak RM194 juta bagi tahun 2021.

“Peningkatan itu berikutan pelaksanaan pelbagai program strategi zakat termasuk memberi fokus kepada kempen skim wakalah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sepanjang tahun lalu pihaknya sudah mengagihkan zakat kepada golongan asnaf membabitkan 124,900 orang.

“Sebanyak RM79.9 juta diagihkan kepada asnaf fakir miskin yang menerima bayaran bulanan membabitkan 9,728 keluarga.

“Agihan turut meliputi Program Pembangunan Masjid dan Surau sebanyak RM23.2 juta, pembangunan pendidikan yang melibatkan pelajar dan penyelenggaraan surau sekolah sebanyak RM42 juta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here