KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memandang serius insiden pencemaran sumber air yang menyebabkan gangguan bekalan air dan mendatangkan kesusahan kepada pengguna.
Sehubungan itu bagi mengatasi insiden pencemaran terhadap sumber air, Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata NRECC akan membuat pindaan kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
Pindaan itu katanya, melibatkan beberapa spesifik Seksyen bertujuan menangani insiden pencemaran secara berkesan secara khusus melibatkan beberapa perkara utama termasuk:
i. Peningkatan tempoh hukuman dan kadar denda ke atas tindakan yang berisiko menyebabkan pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air. Dalam, hal ini, pindaan melibatkan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali;
ii. melibatkan penyenaraian kesalahan-kesalahan baharu seperti apa-apa perbuatan yang menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air kepada pengguna serta melepaskan apa-apa kumbahan, efluen, benda atau bahan ke dalam mana-mana lurang; dan
iii. membolehkan pemegang lesen perkhidmatan air menuntut semula kos bagi memulihkan sistem bekalan air yang telah dicemari daripada pihak yang didapati bersalah menyebabkan pencemaran air.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kementerian menyasarkan pindaan ini dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi Jun 2023.
Selain itu, katanya, kementerian akan meneruskan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] bagi menangani insiden pencemaran secara berkesan.
Beliau berkata, secara amnya, pindaan ke atas Akta 127 akan dijalankan secara berfasa seperti berikut:
i. Pindaan Fasa 1 melibatkan elemen kompaun dan penalti bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil ke atas pelaku dan pesalah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar. Pindaan Fasa 1 ini sedang dimurnikan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku tahun keempat tahun 2023; dan
ii. Pindaan Fasa 2 yang akan memperkasakan Akta 127 secara menyeluruh masih sedang diperhalusi dan diteliti bersama pakar undang-undang dan alam sekitar. Berdasarkan penelitian kementerian, draf pindaan Fasa 2 perlu melibatkan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan pemegang taruh yang berkaitan seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak penggerak projek pembangunan dan pihak industri supaya dapatnya adalah menyeluruh.
“Kementerian juga sedang melaksanakan beberapa pendekatan bukan struktur dan Nature-based Solution bagi memberikan pendidikan serta kesedaran awam mengenai kelestarian sungai dan memastikan kualiti air sungai terjamin,” katanya. – Malaysiapost

