SEBANYAK RM14.38 juta kerugian dan pembaziran wang awam dialami Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan pembayaran perkhidmatan mencetak kad Lesan Memandu Malaysia (LLM).
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, perkara itu berlaku disebabkan oleh kelemahan pemantauan JPJ terhadap peraturan dan perjanjian yang berkuat kuasa.
“Sebanyak 1.83 juta keping kad LLM tidak digunakan bernilai RM14.23 juta dan penalti sejumlah RM149,178 tidak dikenakan terhadap pelanggaran Service Level Agreement (SLA),” menurut laporan LKAN itu.
Sehubungan itu, pihak audit mengesyorkan beberapa perkara bagi mengatasi kelemahan yang berlaku di jabatan berkenaan.
“Pemantauan perlu dilakukan terhadap penggunaan stok kad yang dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan penggunaannya adalah secara optimum supaya tidak membazir.
“Memastikan SLA dipatuhi oleh syarikat dan sekiranya gagal, penalti atau denda akan dikenakan dengan segera,” katanya.
Selain itu, laporan itu turut mengesyorkan pemantauan terhadap perkhidmatan dibuat dengan lebih berkesan dengan mengambil tindakan segera terhadap masalah berbangkit. – Malaysiapost

