Adun Bebar tanding jawatan Ketua Umno Pekan

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebar, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Pekan pada pemilihan Umno peringkat Bahagian itu.

Ketika mengumumkan perkara tersebut hari ini, Exco Kanan kerajaan Pahang itu berkata Keputusan untuk bertanding dibuat bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.

“Saya yakin tiba masanya untuk menabur bakti dan keringat kepada penduduk dan ahli Umno Pekan,” katanya.

Mohammad Fakhruddin dipilih sebagai Adun Bebar selama tiga penggal dan dilantik Exco kerajaan Pahang sejak dua penggal lalu.

Pada penggal lalu, dia adalah Exco Sains, Teknologi, Komunikasi dan Multimedia Pahang dan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dia dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang.

Mohammad Fakhruddin turut yakin melalui kerjasama dan hubungan baik dengan kepimpinan Umno Pahang selama ini, lebih banyak usaha, kemajuan dan pembangunan di Pekan dapat dilaksanakan.

Jawatan ketua Umno Bahagian Pekan dipangku Timbalannya, Zamri Ramly sejak Ogos lalu.

Zamri sebelum ini memaklumkan belum ada pihak menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan kali ini.

Beliau ketika dihubungi hari ini memaklumkan setakat ini pejabat Umno Bahagian Pekan belum menerima borang pencalonan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, pada awal bulan ini, Zamri dilaporkan berkata beliau sedia bertanding untuk jawatan berkenaan jika ada pihak menawarkan diri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here