PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kerajaan yang didakwa menghalang kebebasan anak muda bersuara di media sosial terutama di aplikasi TikTok.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kempen PN di TikTok telah mendapat sambutan hangat anak muda ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu kini disekat oleh kerajaan dan menyifatkannya sebagai tindakan “political persecution”.
“Begitu juga tindakan kerajaan menekan kebebasan anak muda untuk bersuara di media sosial terutama menerusi saluran TikTok.
“Ramai penganalisis politik menyatakan dalam PRU15 lalu, kempen PN mendapat sambutan yang hangat di TikTok, terutamanya dalam kalangan anak muda.
“Sekarang, selepas pilihan raya telah ada tindakan tindakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital untuk menyekat dan menekan pengguna TikTok khususnya yang menyokong PN.
“Ini satu bentuk “political persecution” dengan izin, Tuan Yang DiPertua. Ini satu lagi bikin tak serupa cakap,” katanya dalam perbahasan menjunjung titah Yang di Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh berkata, kebebasan bersuara penyokong PN disekat sedangkan tiada sebarang sekatan bagi penyokong Pakatan Harapan (PH) di media sosial.
“Kononnya perjuangan PH adalah untuk mendokong kebebasan media dan kebebasan bersuara.
“Kalau begitu, kenapa kebebasan penyokong penyokong PN di TikTok disekat, tetapi kebebasan penyokong penyokong Pakatan Harapan yang saban hari menabur fitnah dan kebencian di twitter tidak dikawal?” katanya.
Selain itu, Pengerusi Bersatu itu membidas beberapa tindakan ‘cakap tak serupa bikin’ kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antaranya pelantikan anak beranak sebagai pegawai dalam pentadbiran kerajaan.
“Berhentilah bermain politik dan membuat keputusan keputusan cakap tak serupa bikin. Misalnya, tiba-tiba ada dasar menteri boleh lantik anak beranak sebagai pegawai.
“Walaupun tidak mengambil gaji, pelantikan ini boleh menimbulkan percanggahan kepentingan, atau dengan izin “conflict of interest”, dan berbaur nepotisme.
“Untuk apa dasar ini diperkenalkan? Ia tiada kaitan langsung dengan keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini.
“Rakyat bukan nak lihat anak menteri, anak Perdana Menteri, memegang jawatan dalam kerajaan. Mereka nak lihat menteri dan Perdana Menteri buat kerja untuk rakyat,” katanya. – Malaysiapost

