Lebih RM62 juta untuk penjenamaan Keluarga Malaysia

0
3

PENTADBIRAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri Kesembilan Malaysia dilapor membelanjakan peruntukan lebih RM62 juta untuk menjenamakan Keluarga Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jumlah itu mewakili lebih 98 peratus daripada keseluruhan RM62,764,107.25.

Dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata keseluruhan peruntukan itu yang dibelanjakan untuk penjenamaan kerajaan di bawah tiga Perdana Menteri sejak Mac 2020 hingga 30 Januari lalu.

“Pecahan mengikut program adalah Kerajaan Prihatin dengan perbelanjaan RM181,752.20; Keluarga Malaysia, RM62,093,139.05 dan Malaysia Madani, RM489,216.

“Jumlah perbelanjaan berdasarkan program jelajah jerayawara yang dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri kelapan hingga kini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hasan yang meminta menyatakan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan bagi penjenamaan semula Kerajaan.

Aminolhuda bertanyakan peruntukan bagi Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Kerajaan Prihatin), Perdana Menteri kesembilan, Ismail Sabri (Keluarga Malaysia) dan Perdana Menteri ke-10 Anwar (Malaysia Madani).

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020, manakala Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri Kesembilan selama 14 bulan, mulai Ogos 2021 hingga November 2022.

Anwar pula mengangkat sumpah Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022 dan melancarkan Malaysia Madani pada 19 Januari lalu.

Menurut Armizan, hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Muhyiddin berikutan negara ketika itu dilanda pandemik COVID-19 yang menyaksikan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri Kelapan memandangkan negara berada dalam tempoh PKP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here