MENTERI Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa meminta petugas kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok untuk bersemuka dengannya supaya masalah berkaitan sistem penjagaan kesihatan di negara ini dapat diselesaikan.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, beliau menegaskan mogok bukan jalan penyelesaian terbaik, sebaliknya mereka perlu berbincang supaya suara mereka dapat didengari.
“Saya sebenarnya mendengar bahawa akan berlaku ‘unannouced strike’, sama ada berlaku atau tidak berlaku, saya sendiri pun tidak ada kepastian.
“Saya minta kepada anda semua, perkara itu (mogok) tidak akan menyelesaikan masalah. Yang terbaik ialah bersemuka dan datang kepada saya,” katanya.
Beliau mengulas mengenai khabar angin mendakwa akan berlaku mogok dalam kalangan petugas kesihatan yang kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.
Dr Zaliha turut bertekad untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin dan meminta pihak yang berkaitan untuk berfikir dengan lebih matang.
“Saya minta kepada anda semua, kita berfikir dengan cara lebih matang, lebih baik, boleh datang berjumpa saya, berhubung dengan pegawai-pegawai, kita bertemu, bersemuka selesaikan masalah ini dan semuanya akan mendapat kebaikan daripada perkara ini,” katanya.
Menurutnya, beliau memahami keresahan petugas sektor kesihatan namun meminta diberikan sedikit masa dalam mencari penyelesaian yang terbaik.
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengambil serius sentimen pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok.
Mereka dikatakan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan di negara ini. – Malaysiapost

