TIADA pimpinan PAS dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dana RM300 juta yang diterima Bersatu.
Perkara itu disahkan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang menegaskan pimpinan parti itu sedia memberi kerjasama kepada SPRM sekiranya diminta memberi keterangan.
“Sekiranya dipanggil mana-mana pihak berkuasa, kita harus akur dan akan hadir memberi kerjasama, tapi setakat ini belum ada lagi,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, SPRM dijangka memanggil Muhyiddin berhubung siasatan ke atas kewangan parti itu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri, akan dipanggil dalam tempoh terdekat.
Difahamkan, Muhyiddin akan dipanggil bagi dirakam kenyataan mengenai dakwaan RM300 juta yang diterima parti terbabit sebagai dana politik daripada kontraktor yang dianugerahkan projek ketika pentadbirannya. – Malaysiapost

