Tiada cadangan perkenalkan semula GST – Anwar

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak bercadang untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai kepenggunaan berasas luas yang lain.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah yang akan diambil kerajaan dalam menangani isu ekonomi yang dihadapi negara ketika ini termasuk hutang negara yang kini mencecah RM1.5 trilion, adalah memperketatkan pemberian subsidi.

“Kita tidak bercadang untuk memperkenalkan cukai GST atau cukai kepenggunaan berasa luas. Yang kita akan perketatkan adalah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti yang dilakukan dalam isu subsidi elektrik.

“Walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang membatalkan cadangan itu dan mengenakan hanya kepada golongan T20 iaitu syarikat-syarikat besar selain syarikat terbabit bidang makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu bagi menangani beban hutang yang dihadapi negara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, turut memaklumkan kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah lain yang dikenakan dalam konteks penekanan yang sama.

“Umpamanya subsidi diesel pada tahun 2022 adalah RM20 bilion tetapi dalam kajian Ketua Audit Negara dan lain-lain agensi, separuh daripada jumlah itu telah dijual melalui stesen minyak.

“Maknanya kalau boleh selamatkan RM5-RM6 bilion daripada ketirisan itu ia akan membantu,” katanya.

Menurutnya, begitu juga beberapa langkah lain dari segi penjanaan pertumbuhan ekonomi kerana kesediaan pelabur-pelabur domestik dan asing yang mula masuk ke dalam negara, sekaligus meningkatkan hasil negara tanpa membebankan rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here