KERAJAAN digesa menarik balik kerakyatan bekas pemain pelapis badminton negara, Bong Guang Yik dan sesiapa sahaja yang sengaja menimbulkan sentimen perkauman.
Perkara itu dinyatakan Exco Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang menyifatkan permohonan maaf sahaja tidak mencukupi untuk ‘mengajar’ seseorang yang bersikap rasis.
“Kami tidak mahu hanya permohonan maaf dari si rasis (Guang Yik) ini, tetapi kami mendesak agar kerajaan menarik kerakyatan si rasis ini dan mana-mana pelaku yang sengaja menimbulkan sentimen perkauman melampau.
“Negara ini tidak memerlukan petualang yang menggunakan isu perkauman melampau,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Kelmarin, tular klip video Guang Yik yang sedang berada di China mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi akaun TikToknya.
Selepas dikecam pelbagai pihak, Guang Yik tampil memohon maaf atas sikapnya yang melampau itu.
Guang Yik menjelaskan, dia berasa terdorong untuk berkongsi pendapatnya mengenai keadaan semasa badminton di Malaysia, namun mengakui melampaui batas apabila menyentuh soal kaum dan agama.
Sementara itu Dr Akmal berkata, laporan polis telah dibuat supaya tindakan diambil terhadap Guang Yik.
Beliau juga menggesa agar lebih ramai pihak membuat laporan polis di seluruh negara untuk mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Guang Yik.
“Tiada ruang untuk petualang sebegini di dalam negara kita,” katanya. – Malaysiapost

