Rafizi mahu Dewan Rakyat ambil tindakan terhadap Wan Fayhsal

0
2

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli akan mengusulkan supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) kerana didakwa membuat kenyataan mengelirukan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia selepas Wan Ahmad Fayhsal mendakwa manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 lalu berjanji untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Mengikut peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis, dan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan tersebut.

“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (ada janji) menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tiada janji seperti itu dalam manifesto PH baru-baru ini.

“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor kemudian meminta Rafizi mengemukakan usul tersebut secara bertulis.

Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal berkata, apakah kerajaan ada iltizam politik untuk benar-benar memansuhkan hutang PTPTN seperti dijanjikan dalam manifesto PH.

“Sekarang ni saya pun maklum Pandan (Rafizi) pejuang tegar PTPTN dan Hang Tuah Jaya (Adam Adli Abdul Halim) aktivis yang benar-benar ingin perjuangkan PTPTN untuk anak muda, adakah ada tempoh masa strategi sebenar?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here