DASAR Madani yang dibawa kerajaan perpaduan perlu jelas supaya tidak timbul kekeliruan dan kekhilafan yang boleh membawa perpecahan terutama membabitkan kumpulan ilmuan dan agamawan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata konsep kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah adalah aspek yang baik.
Namun kata Ahli Parlimen Larut itu, paling penting ia mestilah berakar kepada fiqh dan maqasid.
“Oleh itu, kalau elok pemimpinnya, insya-Allah eloklah bangsanya, tetapi kalau rosak pemimpinnya dengan membawa idealogi yang salah dan tidak bertanggungjawab.
“Nauzubillah, maka musnahlah masa depan anak bangsa dan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah mendakwa terdapat bau-bauan sekularisme, liberalisme dan pluralisme dalam konsep, kerangka serta epistimologi Malaysia Madani jika banyak mengutip pemikiran Amartya Sen, Pico Mirandola, Ziauddin Sardar dan John Locke itu sendiri.
Sedangkan, katanya, fabrik sosial dalam Madani mengikut Islam juga telah dihurai panjang lebar oleh Al-Farabi menerusi istilah Al-Madinah Al-Fadilah sebagai reaksi balas kepada pandangan Aristotle.
Begitu juga tambahnya, Ibnu Khaldun yang mengupas konsep dan epistimologi Madani dari sudut ilmu sosio-politik menerusi kitab al-Muqaddimah. – Malaysiapost

