Anwar pertimbang ke Turkiye malam ini

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan untuk bertolak ke Turkiye, malam ini.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta menunjukkan sokongan terhadap kejadian yang berlaku kepada negara itu baru-baru ini.

“Saya diminta oleh Presiden Turkiye untuk segera ke sana untuk memberikan sokongan moral dan saya sedang menimbangkan samada terpaksa bertolak malam ini ke Turkiye bagi menunjukkan sokongan kita.

“Beberapa negara telah sampai dan Presiden Erdogan telah meminta saya untuk ke sana secara peribadi di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika sesi soalan bersama Perdana Menteri, pagi ini.

Menurut Anwar, beliau menerima panggilan dua kali daripada Erdogan untuk meminta beliau ke Turkiye.

Pada Sabtu lalu, Anwar berkata beliau telah berhubung dengan Recep Tayyip Erdogan sebaik tiba dari Bangkok, Thailand selepas lawatan rasmi selama dua hari di negara jiran itu.

Katanya, beliau sempat menyampaikan ucapan dan doa atas tragedi bencana gempa yang menimpa negara berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan setakat ini hanya membelanjakan RM4 juta bagi kos menghantar pasukan mencari dan menyelamat SMART.

Jelasnya, segala kos penerbangan untuk membawa pasukan penyelamat Malaysia ditaja oleh kerajaan Turkiye.

“Setakat ini sekitar RM4 juta sahaja dibelanjakan untuk SMRT dan hantar dua pasukan dan pada malam ini satu lagi pasukan akan dihantar termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia dengan kemudahan hospital yang telah dipasang dan telah beroperasi.

“Kita telah mengumpulkan RM20 juta termasuk USD1 juta daripada kerajaan dan USD1 juta daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya.

Dalam kejadian awal minggu lalu, gempa bumi bermagnitud 7.8 dan 7.5 memusnahkan sebahagian kawasan di dua negara termasuk Turkiye dan Syria.

Malah, angka kematian juga dilaporkan meningkat sehingga 33,185 mangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here