MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini hadir ke majlis pembukaan penggal Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat dengan berkerusi roda.
Menteri Kerja Raya itu terpaksa berkerusi roda atau bergantung kepada tongkat ketika ini disebabkan kecederaan lama akibat terjatuh pada 1998 yang menyebabkan lututnya perlu dibedah.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Alexander berkata semalam ramai yang menghubungi untuk bertanya tentang keadaan kesihatannya, selepas gambar berkerusi roda dimuat naik di sosial media.
Tidak terkecuali katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan dalam Kerajaan Perpaduan turut bertanya perkara sama ketika sesi pemukiman Pre-Council sidang Dewan Rakyat Ahli Parlimen Kerajaan di Putrajaya petang semalam.
“Selepas 15 tahun, kesakitan pada kecederaan lama ini kembali menyerang dan bertambah teruk sejak dua minggu lalu disebabkan saya perlu banyak bergerak bagi menjalankan tugas di kementerian dan kawasan.
“Susulan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur lima hari lalu, doktor menasihati saya untuk menjalani pembedahan pada akhir Mac atau awal April, tahun ini.
“Terima kasih kepada semua yang telah bertanya khabar. Jangan risau, berkat doa semua saya akan pulih semula,” katanya. – Malaysiapost

