TERNYATA buah ranum yang dituai kerajaan hari ini adalah jasa Jemaah Menteri terdahulu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri!
Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengulas Titah Diraja oleh Yang Di-Pertuan Agong pada pembukaan Parlimen Penggal ke-15 pagi tadi.
Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilapor merakam penghargaan atas kejayaan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dalam memulihkan ekonomi negara.
Susulan itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Jemaah Menteri kerajaan terdahulu telah menangkis dakyah dan propaganda kononnya ia kerajaan gagal biarpun diserang bertubi-tubi.
“Kita tunggu, lihat, semak dan imbang apa formula seterusnya oleh kerajaan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional ini.
“Yang baik kita sokong (Majlis Ilmu, pengangkutan awam lancar), yang buruk kita bangkang dan perbetulkan (lantikan nepotisme, formula palsu etc.) – semuanya demi kesejahteraan rakyat.
“Nantikan perbahasan Titah Diraja kami mulai esok, Insha-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong bertitah, negara telah mencatat eksport bernilai RM1.552 trilion pada Disember 2022, iaitu peningkatan 25 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021.
Pencapaian ini telah melepasi sasaran jumlah eksport negara tiga tahun lebih awal daripada disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12, iaitu RM1.25 trilion menjelang tahun 2025. – Malaysiapost

