TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sentimen perkauman.
Zahid yang juga Presiden Umno turut menggelarkan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu sebagai bermulut celupar yang tidak perlu dilayan.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada pimpinan tertinggi DAP untuk menguruskan dan menyelesaikan perkara berkenaan.
“Beliau memang dikenali sebagai ‘loose canon’. Kita tidak perlu layan kenyataan dia.
“Biarlah kepemimpinan partinya yang menangani perkara ini”, katanya pada sidang media selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Ramasamy baru-baru ini menerusi hantaran di Facebook, dikatakan meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan itu kerana isu berkenaan bukan sebagai satu masalah ketika ini.
Susulan kontroversi itu, beberapa pihak termasuk parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan menggesa Ramasamy dipecat kerana kerap mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis. – Malaysiapost

