INDIVIDU yang terlibat dalam kes amang seksual mesti diperangi dengan dikenakan tindakan tegas, kata Aiman Athirah Sabu
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat itu berkata, jenayah yang melibatkan seorang doktor perubatan di Hospital Kemaman baru-baru ini disifatkan sangat serius apatah lagi individu berkenaan mempunyai akses dengan masyarakat terutama kanak-kanak.
“Saya menggesa agar suspek yang terlibat turut digantung tugas sehinggalah kes ini selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, seorang doktor perubatan berusia 30 tahun ditahan polis Terengganu selepas dipercayai mencabul seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Wad Kanak-Kanak di Hospital Kemaman.
Tangkapan di bawah siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa pada malam, 8 Februari lalu.
Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang menegaskan, mangsa dan keluarga kanak-kanak itu perlu diberi perlindungan jika mahkamah mempertimbangkan rayuan tertuduh semasa permohonan jaminan.
“Saya menggesa agar mahkamah memberikan jaminan yang tinggi dengan syarat-syarat yang ketat seperti tidak dibenarkan berhubung dengan mangsa atau keluarga mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali,” katanya.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) itu berkata, kes amang seksual wajar diperangi habis-habisan dengan semua pihak mengambil tindakan yang paling serius dan tegas tidak kiralah ia dilakukan oleh “predator” berpangkat apa sekalipun.
“Tindakan keji seperti ini sangat merosakkan emosi dan masa depan kanak-kanak kita.
“Saya bersama KPWKM senantiasa komited memastikan keselamatan dan kebajikan khususnya kanak-kanak Malaysia terus diberikan keutamaan,” katanya. -Malaysiapost

