SAYA mengikuti rapat perkembangan kepemimpinan tertinggi sistem pendidikan negara sejak pandemik Covid19 bermula.
Seingat saya, Dr Radzi Jidin ketika 100 hari pertama menjawat sebagai Menteri Kanan pada awal tahun 2020, diterima baik oleh guru-guru dan masyarakat khususnya ibubapa. Walaupun secara umumnya, keadaan politik negara ketika itu tidak begitu stabil selepas langkah Sheraton.
Kritikan masyarakat terhadap Dr Radzi Jidin dan pengurusan KPM hanya bermula apabila kegagalan beliau dan pasukan KPM menguruskan isu PDPR sekitar November 2020 iaitu selepas lapan bulan beliau menjadi Menteri Pendidikan dan kritikan itu kemudian berterusan sehinggalah PRU15.
Bagaimanapun, situasi YB Fadhlina Sidek nampaknya berbeza. Belum pun mencecah 100 hari sebagai Menteri Pendidikan, beliau telah menjadi sasaran kritikan berbagai pihak termasuk dalam kalangan guru-guru sendiri yang tidak berpuas hati dengan prestasi pendidikan semasa.
Bagi berlaku adil, sebahagian besar kritikan terhadap beliau sebenarnya berpunca dari kegagalan kepimpinan pendidikan yang sebelumnya. Tetapi itu bukanlah alasan yang kukuh untuk diterima bulat -bulat. Di mata masyarakat, berbagai isu pendidikan nampaknya seperti tidak ada penyelesaian dan hala tuju yang jelas.
Satu -satunya tindakan beliau yang disambut baik oleh masyarakat ialah pada minggu pertama dilantik sebagai Menteri Pendidikan, beliau telah membentangkan 7 Teras KPM.
Bagaimanapun agenda tersebut terhenti setakat itu sahaja. Tiada pelan strategik atau pelan tindakan susulan yang dibentangkan untuk meyakinkan rakyat tentang kesungguhan beliau dalam usaha menjayakan tujuh teras KPM tersebut. Malah, slogan yang beliau perkenalkan- “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera” dilihat tidak mengambarkan realiti sebenar sistem pendidikan negara.
Begitu juga beberapa keputusan beliau sebagai Menteri Pendidikan yang telah dikritik hebat termasuklah isu pelantikan MPPK dan pendekatan beliau meluluskan peruntukan KPM kepada sekolah-sekolah yang dilawati sehingga menimbulkan rasa kurang senang pada sekolah lain yang tidak dilawati.
Begitu juga kritikan tertalu-talu terhadap beliau dan pengurusan KPM dalam isu keberkesanan PBD, UASA, IDME, kekurangan guru, beban guru, ‘little Napolean’ dan yang paling ‘panas’ berkaitan isu silibus sekolah rendah yang terlalu berat dan tinggi.
Malah keputusan beliau untuk menangguhkan keputusan samada meneruskan atau tidak pelaksanaan sistem pentaksiran UPSR dan PT3 sehingga akhir tahun 2025 dilihat sebagai keputusan yang tidak wajar kerana tempoh masanya hampir tiga tahun dari sekarang.
Rakyat bertanya-tanya ‘mengapa dibiarkan isu dan kemelut PBD, UASA, UPSR dan PT3 ini berterusan untuk tiga tahun lagi? Mengapakah tidak diputuskan sekarang dari dibiarkan pendidikan anak-anak dalam ‘tergantung -gantung’?
Malah beberapa keputusan beliau mula diragui oleh rakyat. Misalnya, arahan terbuka beliau supaya pegawai KPM berhenti menyekat dan memberikan amaran kepada guru-guru yang bersuara tentang sistem pendidikan negara di media sosial sehingga kini belum disusuli dengan surat rasmi pekeliling oleh pengurusan tertinggi KPM.
Keraguan kedua rakyat ialah janji beliau untuk menyelesaikan sepenuhnya isu kekurangan 3,000 guru sebelum Mac 2022 ini di Sarawak dan kemudian di negeri yang lain. Sedangkan hari ini sudah 10 Februari 2023. Bolehkah diselesaikan sepenuhnya kekurangan 3,000 guru di Sarawak dalam tempoh masa yang berbaki sebelum masuknya bulan Mac nanti seperti yang dijanjikan?
Sebenarnya, sukar untuk menjangkakan apakah rakyat akan terus menyakini gaya kepimpinan beliau di dalam memimpin sektor perdidikan negara sehingga PRU16.
Apakah kritikan demi kritikan yang sedang bertali arus terhadap beliau dan pengurusan KPM akan berterusan? Apakah kritikan seperti ini akan memberi pengaruh kepada kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Harapan kemudiannya?
Kita tidak dapat menjangkakan dengan tepat sekarang. Tetapi apa yang pasti, YB Fadhlina Sidek selaku Menteri Pendidikan perlu mendapatkan kembali dengan seberapa segera kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau menerajui KPM.
Beliau perlu segera ‘bangun’ dan dilihat sebagai tokoh pemimpin pendidikan yang diyakini oleh rakyat untuk menunjukkan hala tuju pendidikan negara dan bukan sekadar bertingkahlaku sebagai seorang pengurus pendidikan. Beliau perlu menjadi seorang pemimpin pendidikan dan bukan sekadar pengurus pendidikan.
Misi yang sangat sukar dan mencabar sedang menanti ‘air tangan’ beliau. Pertama, beliau perlu memimpin pemulihan keciciran pendidikan yang kritikal pasca Covid 19. Kedua, oleh kerana PPPM akan tamat pada 2025, beliau juga perlu menerajui pembentukan pelan pendidikan negara yang baru pasca tahun 2025.
Sama-samalah kita doakan semoga YB Fadhlina Sidek akan berjaya dalam misinya sebagai Menteri Pendidikan untuk memimpin sistem pendidikan negara.
.
Dr Anuar Ahmad
Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan
Fakulti Pendidikan UKM
.
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

