Islam tentang konsep ‘dictatorship’ – Hadi

0
2

ISLAM menentang konsep ‘dictatorship’ (pemerintahan secara diktator), kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, walaupun ajaran Islam lebih hampir kepada konsep demokrasi disebabkan konsep syura yang terdapat dalam ajarannya, namun Islam tidak pula hanyut seperti demokrasi Barat yang tidak beragama, tidak berakhlak dan tidak bermoral.

Katanya, al-Quran merakamkan bahawa semua para rasul yang membawa Islam itu menentang golongan diktator yang zalim pada zaman masing-masing.

“Selain itu, mereka juga menentang rakyat yang diperbodohkan oleh pemimpin zalim atau diri mereka sendiri jahil tanpa berfikiran sihat dan berhidayah. Sama ada secara individu atau kumpulan (golongan al-mala’).

“Keadilan Islam pula menyeluruh kepada seluruh manusia bermasyarakat majmuk terdiri pelbagai bangsa dan agama dalam segala aspek seperti politik, ekonomi, kehakiman dan lain-lain.

“Malah, juga berlaku adil kepada semua pihak, termasuk terhadap musuh yang zalim dan melampau, sehinggakan mereka tidak boleh dihukum dan diambil tindakan sewenang-wenangnya,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS hari ini.

Abdul Hadi menambah, keadilan itu ditegakkan berasaskan kepada amanah besar untuk memilih pemimpin dan melaksanakan hukuman.

Oleh itu, katanya, umat Islam diharamkan melantik pemimpin yang fasiq dan jahil.

“Makna fasiq itu dihurai dengan perbuatan mengerjakan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan amalan dosa kecil dan tidak bermaruah.

“Hal ini sangat penting, kerana memilih pemimpin merupakan suatu amanah yang sangat besar.

“Bahkan, Islam juga memerintahkan agar melaksanakan keadilan secara mutlak, termasuk terhadap musuh-musuh di medan perang,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, PAS menetapkan dalam Perlembagaannya bahawa al-Quran, Sunnah, Ijma‘ dan Qiyas sebagai rujukan yang tertinggi.

“Namun, masih terdapat banyak halangan pada Perlembagaan Persekutuan, kerana masih ada saki-baki warisan penjajah yang masih perlu dilakukan perubahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here