Sekretariat tetap diwujud selaraskan kursus TVET – TPM

0
2

KERAJAAN memutuskan untuk mewujudkan satu sekretariat tetap bagi menyelaras pertindihan kursus di semua pusat Latihan Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini terdapat 1,295 pusat TVET yang mengakibatkan berlaku pembaziran peruntukan lebih RM6.7 bilion apabila lebih 6,000 kursus ditawarkan bertindih antara satu sama lain.

“Pada masa sama, kami juga prihatin mengenai isu perebutan pelatih baharu untuk masuk ke pelbagai pusat latihan selain masalah kadar kebolehpasaran rendah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, hari ini.

Ditubuhkan pada 2021 lalu, majlis berkenaan diwujudkan bagi menambah baik ekosistem TVET tempatan sebagai agenda nasional dengan memperuntukkan RM6.6 bilion bagi memperkasakan bidang itu melalui pelbagai inisiatif selaras dengan Bajet 2022.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, tahap kebolehpasaran graduan juga merosot bawah 50 peratus, sedangkan 280 pusat TVET dikendalikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memperlihatkan kira-kira 98 peratus graduannya tidak menganggur.

“Saya sendiri pantau prestasi puluhan GiatMara, Institut Kemahiran Mara, Kolej Poly Tech Mara dan Uni-KL, memang tiada masalah sebab kursus ditawarkan ada nilai,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekretariat berkenaan akan menilai balik semua pengajian ratusan pusat TVET yang bermasalah untuk menyediakan kursus sesuai dengan pasaran antaranya berkaitan kepintaran buatan, revolusi industri 4.0 dan teknologi komunikasi maklumat pasca generasi kelima.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan tiada premis pendidikan itu akan ditutup, tetapi pengajaran bakal ditambah baik dengan bidang memenuhi pihak industri termasuk penglibatan syarikat swasta untuk membiayai pusat TVET dengan bidang diperlukan dan membolehkan pelajarnya dapat terus diambil bekerja.

“Kerjasama yang lebih berkesan hendaklah dilakukan bersama pihak industri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pelaksanaan program-program TVET berimpak tinggi.

“Insya-Allah usaha berterusan akan dilakukan bagi menjadikan TVET sebagai salah satu cabang kemajuan negara dan komitmen pemegang taruh amat penting bagi memastikan agenda itu dapat dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here