GEMPA bumi dengan kekuatan 7.4 skala Richter mengeggarkan Turkiye awal pagi Isnin lalu bukan sekadar meragut ribuan korban, malah turut melenyapkan ratusan binaan.
Perkara itu digambarkan pendakwah bebas, Imam Muda Asyraf, 39, yang kini menetap di Turkiye bersama keluarganya, melalui hantaran Instgram.
Menggambarkan situasi terkini Turkiye ibarat medan perang, beliau dan keluarga bagaimanapun bernasib baik kerana kedudukan mereka di Istanbul agak jauh berbanding titik gempa iaitu di wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye.
Namun beliau bersama keluarga tetap merasai gegaran kecil serta ribut kesan gempa berkenaan.
“Kedudukan kami sekeluarga agak berjauhan. Menetap di Kota Istanbul hanya diterpa gegaran kecil serta ribut.
“Ramai yang mesej bertanya khabar. Tak perlu dirisaukan. Alhamdulillah kami sekeluarga dalam keadaan sihat seadanya,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kesukaran dialami mangsa susulan gempa kuat yang turut dirasai sehingga ke wilayah Syria dan Lubnan itu.
“Tidak terbayang dalam keadaan sejuk yang mencengkam tulang. Di bawah runtuhan rumah. Mencari saudara dan kenalan yang tidak ditemukan.
“Semoga Allah memberikan kesabaran dan ketabahan bagi mereka yang ditimpa musibah dan ujian ini.
“Banyak perkara yang terasa ingin dikongsikan. Namun hanyalah doa dari kalian kami hajatkan agar dipermudahkan segalanya di sini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, gempa bumi terkuat dalam tempoh hampir satu abad yang melanda Turkiye dan Syria, semalam, meragut lebih 1,200 nyawa serta meranapkan banyak bangunan, malah gegarannya turut dirasai hingga sejauh Iraq.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu juga memusnahkan juga keseluruhan bahagian bandar-bandar utama yang dihuni jutaan penduduk.
Presiden Recep Tayyip Erdogan, berkata sekurang-kurang 912 disahkan terkorban di Turkiye, setakat ini. – Malaysiapost
Foto: FB Imam Muda Asyraf

