AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno (MK) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar Khairy Jamaluddin untuk menubuhkan parti baharu sekiranya benar bekas Ahli Parlimen Rembau itu mempunyai ‘magnet’ menarik pengundi muda.
Mohd Puad berkata, sekiranya Khairy tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian, adalah lebih baik bekas Menteri Kesihatan itu menyertai PAS atau Bersatu.
“KJ tidak merayu pemecatannya (daripada Umno). Apa salahnya KJ tubuh parti baru. Kita tengok apakah anak muda akan berduyun masuk ikut ‘magnet’ KJ.
“Kalau KJ kurang berani macam Syed Sadiq (Syed Abdul Rahman) yang tubuh parti baru, KJ boleh join Bersatu atau PAS. KJ boleh buktikan magnet dia ok. Jangan pula jadi penumpang kepada parti itu,” katanya menerusi Facebook.
Mohd Puad berkata demikian bagi membidas kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa tindakan Umno menafikan perbezaan pendapat diutarakan pemimpin muda hanya merugikan parti itu.
Naib Presiden Umno itu menyifatkan pemecatan Khairy dan penggantungan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan seperti menghapuskan ‘magnet’ yang menarik sokongan orang muda.
Malah, Ismali Sabri berkata, orang muda tidak akan menyertai parti yang menyekat kebebasan mereka.
Mohd Puad yang membidas kenyataan Ismail Sabri itu, turut mempersoalkan sokongan anak muda kepada Khairy ketika beliau menjadi bekas Ketua Pemuda Umno.
“Ismail Sabri kata, KJ ada magnet. Umno rugi kerana buang magnet untuk tarik orang muda.
“Masa KJ jadi Ketua Pemuda ramaikah anak muda ditarik oleh magnet KJ untuk sokong Umno?,” katanya.
Dalam nada sindiran Mohd Puad berkata, sepatutnya Ismail Sabri mencadangkan kepada MKT supaya menjadikan Khairy sebagai ‘poster boy’ bagi menggantikannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Ismail Sabri silap. Patut dia cadang pada MKT supaya KJ ganti dia sebagai poster boy di PRU ke 15 lalu. Alasannya dia tidak ada magnet. KJ ada magnet. Ruginya Umno kalau betul,” katanya. – Malaysiapost

