KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui berlaku kesesakan di sebuah Jabatan Kecemasan di hospital kuaternari.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, kesesakan tersebut dikesan selepas pegawai-pegawai kementeriannya melakukan lawatan di jabatan tersebut pada minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan hospital berkenaan.
Jelas beliau, kesesakan tersebut dipercayai kerana pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke wad masih terperangkap di Jabatan Kecemasan.
“Setiap Jabatan Kecemasan mempunyai cabaran yang berbeza. Jabatan Kecemasan khusus ini berbeza dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang saya lawati sebelum ini.
“Kakitangan barisan hadapan di sini bergelut kerana pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke hospital terperangkap di Jabatan Kecemasan. Kelewatan ini boleh memberi kesan domino yang buruk,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Dr Zaliha berkata, bagi mengatasi perkara tersebut berlarutan, KKM sedang melakukan perbincangan dalaman dan arahan terhadap kakitangan dan penyediaan lebih banyak katil.
Ujarnya lagi, usaha memperkasakan kepimpinan di peringkat lapangan juga perlu dilakukan.
Tambahnya, beliau mengakui berlaku keletihan fizikal dan mental dalam kalangan kakitangan dan pesakit.
“Banyak isu yang diwarisi dan sistemik, tetapi ada yang boleh ditangani di peringkat tempatan dengan penglibatan yang mencukupi.
“Ramai petugas barisan hadapan telah bekerja di luar tugas semasa pandemik Covid-19, dan terus berbuat demikian ketika kita menghadapi tsunami penyakit tidak berjangkit (NCD) selepas pandemik,” katanya.
Dalam masa sama, Dr Zaliha memberi jaminan KKM akan terus berusaha mengenal pasti penyelesaian secara dalaman dan menyokong petugas barisan hadapan menerusi perbincangan berterusan dengan Kementerian Kewangan.
Sebelum ini, media melaporkan HTAR Klang terpaksa menutup jabatan kecemasannya daripada menerima kes tidak kritikal, kerana mengalami kesesakan dengan pesakit terlalu ramai.
Sementara pada Januari lalu, KKM memaklumkan akan memperkenalkan wad jangka pendek atau ‘short stay ward’ bagi hospital yang mempunyai ruang sebagai inisiatif mengatasi masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan. – Malaysiapost

