YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Thaipusam.
Ucapan itu dizahirkan baginda berdua menerusi poster yang dimuatnaik di laman Facebook Istana Negara, hari ini.
“Selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia,” titah Baginda berdua.
Sementara itu beberapa pemimpin negara turut mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada masyarakat Malaysia Madani sempena perayaan berkenaan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya berkata perayaan serta budaya yang pelbagai di Malaysia adalah hujah ampuh untuk kita saling kenal dan membina persefahaman tatanan negara bangsa yang majmuk.
“Mari bersama kita mengukuh perpaduan dan kerukunan demi pertiwi tercinta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pula berharap sambutan itu diraikan dengan penuh harmoni dan kesederhanaan.
“Dari Georgetown di Pulau Pinang sehinggalah Batu Caves di Gombak, jutaan penganut agama Hindu akan merayakan sambutan ini dengan tekun dan kemeriahan.
“Patuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan perayaan dapat disambut dengan lancar.
“Diharapkan kemeriahan Thaipusam pada tahun ini menjadi cerminan masyarakat Malaysia Madani yang penuh keterbukaan dan saling hormat menghormati sesama warganya,” katanya.
Selamat menyambut Thaipusam juga diucapkan oleh seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
“Semoga perayaan ini dapat disambut dengan penuh makna dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan hubungan antara kaum di negara kita.
“Peliharalah perpaduan, keharmonian dan sifat saling menghormati sesama kita yang menjadi teras kemakmuran serta kesejahteraan Malaysia tercinta,” katanya. – Malaysiapost

