POLIS sedang mengenalpasti seorang lelaki yang didakwa sengaja membaling botol kaca arak dari tingkat atas sebuah pangsapuri ke arah jalan raya yang sesak.
Tindakan tidak bertanggungjawab lelaki itu yang tular di TikTok, mengundang kemarahan orang ramai yang mahu individu berkenaan ditahan polis.
Jurucakap Polis Kuala Lumpur berkata, tindakan lelaki tersebut dipercayai berlaku di Dang Wangi dan usaha menjejak suspek sedang dijalankan.
“Lokasi kejadian berlaku di Dang Wangi. Polis Kuala Lumpur akan jalankan siasatan untuk mengesan pelaku,” katanya.
Terdahulu, rakaman video tular yang berdurasi 43 saat itu menunjukkan tindakan tidak bertanggungjawab pelaku berbaju kelabu tersebut yang dimuat naik pengguna TikTok @syrupboy1.
Pengguna tersebut dengan tegas menyatakan tindakan lelaki tersebut sangat kurang ajar dan mahu polis siasat serta memberi pengajaran setimpal kepada pelaku.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika ada kenderaan turut terkena balingan botol arak terbabit. – Malaysiapost
Foto: Kosmo Online

