Perintah berkurung ESSZONE dilanjut 19 Februari

0
2

PERINTAH berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 19 Februari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan dekat Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar di antara 6 petang hingga 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan,” katanya hari ini.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, ini juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here