POLIS buka kertas siasatan berhubung pengguna TikTok yang menggunakan nama ‘fatinamyralee’ yang disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman mengenai sebuah konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata, polis menerima satu laporan berhubung video tular yang dimuat naik oleh pihak terbabit semalam.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehingga kini percakapan saksi sudah dirakam dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – Malaysiapost

