Calon pemilihan Umno diingatkan berkempen secara sihat

0
3

JAWATANKUASA Pemilihan Umno (JPU) mengingatkan calon-calon yang bakal bertanding pada pemilihan parti agar mengamalkan corak kempen yang sihat bagi menjaga keharmonian.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata calon-calon juga dinasihatkan untuk meneliti peraturan pemilihan Umno seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan bahawa tempoh berkempen ialah pada 1 Februari 2023 sehingga 19 Mac 2023.

“Saya harap semua calon di pelbagai peringkat meneliti segala peraturan dan perkara dalam tata etika ahli Umno dan patuh kepada perkara tersebut.

“Ini nasihat kami bahawa tata etika ahli Umno merupakan garis panduan dari segi kelakuan, keputusan, tingkah laku setiap calon sebab itu harus rujuk dan faham supaya tidak langgar perkara tersebut,” katanya seperti dilaporkan Umno Online.

Menurutnya, sepanjang kempen Pemilihan Umno 2023, antara larangan-larangannya adalah majlis perasmian berkelompok di semua peringkat terutama Cawangan adalah dilarang bermula 1 hingga 26 Februari 2023.

“Semua Ketua (empat peringkat) di peringkat Cawangan dan Bahagian dilarang berucap sebelum proses pemilihan dan pengundian dijalankan),” katanya.

Shahrir dalam pada itu turut mencadangkan pindaan dilakukan oleh MKT Umno untuk membolehkan calon-calon berkempen menerusi media massa dan media sosial.

“Kita sedar bahawa tempoh berkempen begitu singkat dan adanya larangan-larangan dalam tata etika ahli Umno yang menyusah dan menyempitkan cara calon untuk berkempen.

“Jadi kita sudah syorkan kepada MKT supaya diberikan kelonggaran dalam berkempen menggunakan media massa dan media sosial.

“Tetapi hanyalah untuk menyokong calon dengan syarat tidak memfitnah, mengata dan mengeji mana-mana calon serta tidak melanggar Perkara 5.3 Tata Etika Ahli UMNO,” katanya.

Sementara itu, Shahrir juga memaklumkan Badan Perhubungan Umno Negeri dan Bahagian dibenarkan mengadakan sesi pengenalan calon yang bertanding kepada ahli akar umbi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here