BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan mempertimbangkan untuk menyertai parti lain yang serasi dengannya dan tiada syak wasangka antara satu sama lain.
Beliau yang disingkirkan daripada Umno pada Jumaat lalu berkata, itu antara langkah yang akan diambil untuk meneruskan karier politiknya termasuk hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.
“Saya tak terfikir kalau masuk sesuatu parti ini lebih senang untuk menjadi Perdana Menteri. Itu bukan dalam perkiraan saya untuk langkah seterusnya.
“Sebaliknya, saya akan pilih yang mana saya serasi, selesa dan mereka juga selesa dengan saya.
“Saya tak nak masuk ke tempat yang mana kita ada syak wasangka antara satu sama lain.
“Iya lah, saya dah lalui segala ini takkan saya nak pergi bergaduh dengan orang rumah lain pula,” katanya dalam sebuah program temubual malam tadi.
Menurut bekas Ahli Parlimen Rembau itu, untuk menerajui kerajaan adalah cita-cita jangka masa panjang dan beranggapan ramai yang mahu peluang berkenaan cuma tidak dinyatakan secara terbuka.
“Cita-cita untuk diberi peluang menerajui kerajaan mendapat tempat menjadi Perdana Menteri itu ada. Bukan saya seorang, ada ramai cuma mereka tidak sebut,” katanya.
Khairy berkata, apa yang penting adalah beliau mahu membantu jika ada tempatnya yang ada keserasian untuk bersama demi kebaikan rakyat.
Dalam pada itu, katanya, beliau tidak akan mengambil keputusan yang boleh menggugat kestabilan politik negara.
Khairy berkata, peluang harus diberi kepada kerajaan hari ini untuk mentadbir dengan tenteram bagi mendepani tempoh sukar yang mendatang, namun itu tidak bermakna beliau mahu menyertai kerajaan tersebut.
“Sebagai bekas Menteri Kesihatan yang berusaha keras untuk mengeluarkan negara daripada pandemik Covid-19, takkan lah saya tergamak untuk menjadi punca kerapuhan kerajaan.
“Itu tak bermaksud saya katak melompat ke sana atau ke sini, itu keputusan lain tapi yang penting adalah kita nak lihat kestabilan politik itu sebab tahun ini amat penting,” katanya. – Malaysiapost

