Cukup-cukuplah kritik lantikan Nurul Izzah – King Sing

0
2

SEMUA pihak diminta menghentikan isu mengenai pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, berkata bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu diberi ruang untuk fokus dalam perkara lebih penting yang memerlukan perhatiannya sebagai penasihat.

King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Sarawak dan Ahli Parlimen Bintulu, berpendapat sudah banyak yang telah diperkatakan mengenai pelantikan itu dan ia perlu dihentikan.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk meredakan isu ini dan membenarkan Nurul menumpukan perhatian kepada perkara-perkara penting yang memerlukan perhatian mereka.

“Mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri atau tidak, pada masa ini kita perlu menyokong dan memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat kepada negara atas kapasitinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, pandangan itu dikongsikan kepada media apabila ditanya mengenai isu berkenaan.

Beliau berkata, penasihat kepada pemimpin kanan kerajaan kadangkala dilantik bertujuan memberi pandangan alternatif atau untuk mengisi kekosongan bagi memberi tumpuan kepada bahagian masyarakat yang kurang mendapat perhatian.

“Ia tidak semestinya bertindih dengan mana-mana fungsi dalam kerajaan sehingga ke tahap berlebihan.

“Tambahan pula, Anwar telah menyatakan bahawa Nurul Izzah telah dilantik tanpa bayaran atau elaun sama ada di Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan,” katanya.

King Sing berkata, demi pemulihan ekonomi negara, semua pengkritik dan rakyat Malaysia amnya dirayu untuk berhenti menjadikan pelantikan itu sebagai isu politik dan propaganda.

“Cukuplah kita sudah berpolitik sepanjang penggal yang lalu, kini masa untuk kita fokus pada yang lebih penting, iaitu membawa negara kembali ke landasan ekonomi yang kukuh.

“Rakyat mahu melihat ekonomi bertambah baik dan dasar awam konstruktif yang munasabah dibahaskan dan dibentuk, bukan lebih berpolitik yang hanya menghakis keyakinan masyarakat tempatan dan asing terhadap kepimpinan negara.

Cukup-cukuplah. Kami memerlukan semua bantuan yang boleh, bukan berpolitik berterusan yang hanya menjejaskan pertumbuhan dan pembangunan Malaysia seperti penggal Parlimen yang lalu,” katanya.

Nurul Izzah sebelum ini dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya.

Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi jawatan berkenaan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Tindakan Anwar melantik Nurul Izzah itu bagaimanapun dikritik banyak pihak yang beranggapan ia `berbau’ nepotisme selain menimbulkan kemarahan pembangkang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here