PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut supaya mendedahkan berapa ramai lagi lantikan rahsia yang telah dibuat dalam pentadbirannya selain anaknya Nurul Izzah yang dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu perlu menyatakan siapa lagi yang telah dilantiknya secara senyap-senyap.
“Saya juga menuntut Anwar jelaskan kenapa perlantikan Nurul Izzah dirahsiakan.
“Selain itu, Anwar mesti jelaskan apa bidang kuasa yang diberi kepada Nurul Izzah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lantikan itu tidak akan diketahui umum jika tidak kerana Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terlepas cakap.
“Satu Malaysia termasuklah penyokong PH tidak tahu mengenai pembohongan Anwar, yang kononnya menentang kronisme, tetapi secara rahsia melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
“Padahal, Malaysia ini negara yang kaya dengan kepelbagaian dan telah melahirkan ramai pakar-pakar ekonomi dan kewangan tersohor tanah air.
“Kita ada anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan, anak Iban dan pelbagai lagi. Tapi rupa-rupanya yang dipilih ialah anak Anwar! Untung jadi anak Papa!” sindirnya.
Wan Saiful berkata, apa juga alasan Anwar mengenai lantikan anaknya itu adalah sudah tidak relevan dan hakikatnya Perdana Menteri ke-10 itu mengamalkan nepotisme.
“Rakyat bukan mempersoalkan pro bono atau berbayar. Tetapi rakyat mempertikaikan kenapa lantik anak sendiri?
“Rakyat pun tahu kuasa “Anak Perdana Menteri” apabila dilantik sebagai Penasihat rasmi, adalah kuasa yang besar. Rakyat persoalkan kuasa dan kedudukan yang diberi. Sama ada bergaji atau tidak adalah tidak relevan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada bapanya.
Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi jawatan berkenaan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Tindakan Anwar melantik Nurul Izzah itu bagaimanapun dikritik banyak pihak yang beranggapan ia `berbau’ nepotisme selain menimbulkan kemarahan pembangkang. – Malaysiapost

